Wednesday, December 22, 2010

Penceritaan : Pengembaraan ambo dan semuk (67)

Biji Havea Brasilinsis
Berita hangat dibulan December 2010 harga getah melambung kepada $11.80 sekilo.Rezeki kepada pemilik kebun getah dan para penoreh getah tegar di Malaysia.pada masa yang sama harga Kelapa menjadi $2 sebiji ...
Benih getah dibawa masuk ke Malaya oleh penjajah British pada awal abad ke 20 W.R.Ridley.tumbuhan pendatang dari hutan Brazil ini kemudian menjadi satu komoditi penting kepada Malaya.Sehingga pada satu ketika negara kita adalah pengekspot getah paling utama di dunia.

Kenangan Ambo dan Semuk dengan pokok getah dan sejarah menoreh getah di zaman kanak-kanak dahulu.
Ambo adalah pengikut setia Mak semasa cuti sekolah ke kebun untuk membantu dalam proses mengutip susu getah,sekerap getah dan getah beku.Pada masa itu dalam tahun-tahun 70an Ambo dalam darjah 5 hingga tingkatan 2 .Mak Ambo menoreh getah secara pawah dari Pak chu Awang Tunggal.Hasil jualan akan di bahagi 2:3.Kebun getah nya terletak dalam dua buah kebun seluas 2 ekar.



Persiapan yang biasa dilakukan sebelum pergi menoreh adalah mengasah mata pisau menoreh pada belah malam sebelum Mak masuk tidur.Pada pagi keesokan hari dalam pukul 6 pagi .Mak akan pergi dahulu untuk memulakan kerja-kerja menoreh batang getah.Ambo akan menyusul kemudian selepas sarapan dan tugasan rutin dirumah.Dalam pukul 9 lebih Ambo akan ke kebun getah untuk persediaan mengutip susu getah yang sedia menitik dalan masa 3-4 jam bagi memenuhi tempurung tadahan susu getah.Bekas tadahan susu masa itu Ambi masih ingat lagi banyak di gunakan tempurung kelapa yang sudah dikukur isinya bahagian yang tiada bermata.Dengan berbekal kan sebiji baldi di jinjing Ambo ahan penghadap satu persatu batang getah untuk mengutip susu dari bekas tempurung tadi, Setelah penuh satu baldi tadi Ambo akan menyatukan susu itu kedalam baldi yang lebih besar.Musuh utama dalam kebun getah adalah pacat dan nyamuk .pemangsa yang menghisap darah secara haram.Alah bisa tegal biasa ....
Dalam pukul 12 tengah hari semua susu getah siap di kumpulkan dan di bawa ke bangsal mesin getah pada masa itu Mak menumpang guna mesin kepunyaan  Hj Tahir.Hj Tahir adalah pemilik stesen minyak tunggal di Kubang Kerian pada masa itu.dalan tahun70an,kawan sepenorehan Mak Ambo bernama Mek Joh..
Pada peringkai ini susu getah tadi ditapis dahulu untuk membuang habuk kasar seperti daun dan kulit batang getah bekas dari torehan.Penapis yang di gunakan Ambo masih ingat sangat Klasik sekali iaitu dari Romang padi atau tangkai padi yang telah di ambil bijinya semasa proses mengirik padi,Tangkai padi itu pula digunakan sebagai alat yang boleh menapis susu getah.Romang padi itu juga boleh digunakan sebagai tempat ayam bertelur didalam sangkak buluh sewaktu itu.
Ok... sambung lagi susu yang sudah di tapis di sukat dan di masukkan kedalam takungan membeku susu.Sejens acid digunakan untuk mempercepatkan proses membeku susu getah yang di namakan Cuka Getah atau Boric Acid.Cuka getah yang dibeli itu mesti di cairkan dahulu dengan mencampurkan dengan air biasa. acid ini amat merbahaya jika dalam keadaan likat atau dalam molar yang tinggi.Boleh mencederakan jika terkena secara terus.Cuka getah Chap Ayam yang selalu Mok Ambo beli.Susu getah tadi di biarkan membeku dalam masa 1-2jam,pada masa itu Mak Ambo akan balik semula kerumah untuk memasak dan persiapan makan tengahari dengan ala kadar sahaja.Selepas zohor kami kembali lagi ke bangsal mesin getah untuk proses Memesin getah sudah beku tadi kepada getah keping pula.


Penyediaan sebelum di mesin getah yang sudah beku tadi di buang kandungan air nya dan dibentuk  supaya senang memasukkan ke dalam Roller mesin getah.Proses ini menggunakan kaki dan diikuti menekan dengan tangan.Proses mengunakan kaki adalah secara pijak. Getah beku tadi di letakkan diatas pelantar ,Proses memetek (menekan dengan telapak tangan) getah tadi menyusul.Teknik yang digunakan seperti Teknik menekan dada semasa CPR pertolongan cemas dalam First Aid.Bayangkan sendiri ...
Proses seterusnya getah yang disediakan tadi akan di masukkan kepada roller licin atau Flat Surface Roller.Disini roller akan di kawal atau di adjust dengan menggunakan sistem manual clamp.Wheel di pusing dengan kudrat tangan .Biasanya Ambo lah yang menjadi prime mover untuk mesin manual ini.Proses seterusnya getah yang sudah nipis itu di masukkan pula kepada mesin kedua iaitu mesin buat bunga atau mesin jalur.Roller kali ini ada mempunyai jalur yang membentuk pada permukaan kepingan  getah .
Setelah siap getah tadi dijemur di hidaian dari batang buluh.Getah ini akan siap untuk di jual setalah kering ,biasanya Mok Ambo akan menjual getah ini sekali dalam seminggu.


Peraih getah di kampun Ambo masa itu adalah Pok San Pok Getah yang memiliki gudang getah di pekan Kubang Kerian .Masa itu gudang getah nya terletak betul-betul pinggir di bulatan jalan utama di tengah pekan.
Pok San akan datang dengan basikal unta yang memiliki Carrier(gerei basikal) besar di belakang.Masa itu penimbang yang digunakan dalam timbangan kati lagi .Tinbangan manual yang di panggil dacing penimbang kati.Ukuran British 16 tahil bersamaan 1 kati.Harga sekati getah bersamaan 80 sen sahaja.
Timbang kayu ata dacing ini masih ada di musium barangkali...
Dalam semnggu Mok Ambo dapat lah dalam 20- 25 rial duit,itu pong campur sekali dengan jual sekerap dan getah beku(Pok getah) .Duit sekerap menjadi milik penoreh ,tuan hanya mengambil bahagian jualan getah keping sahaja.Tiga bahagian milik penoreh dan 2 bahagian milik tuan punya kebun.Masa itu juga Mak Ambo akan bagi sedikit upah .Dengan duit itulah Mok Ambo membantu Arwah Ayah dalam perbelanjaan harian dan persekolahan anak-anak di tahun 70an dahulu.

PS: Jasa mi Ibu terlalu tinggi ,tidak akan terbalas sampai akhir hayat... Susu mu setitik pun tak mampu Ambo balas ....Kasih Ibu sepanjang hayat Kasih saudara masa berada.EEEh betul ke..
Bau duit dari bekas pok getah terlalu wangi untuk dikenang kerana Pok getah lah Ambo boleh jadi seperti hari ini.Alhamdullilah syukur dan terima kasih Mak.

1 comment:

  1. salam,sesiapa nak jual cuplum dalam 5-10 tan sehari...sila..hp.saya 0129418985

    ReplyDelete